Kerjasama politik baharu Pas, Umno?
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
(Ubah saiz teks)
KUALA TERENGGANU – Kepentingan mewujudkan kerjasama politik baharu
dijangka antara topik hangat akan dibincangkan dalam Muktamar Tahunan
Pas Pusat 2018 yang bakal berlangsung di Terengganu pada 13 hingga 16
September nanti.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia menjadi sebahagian
dari ucapan dasar yang akan dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang ketika menyempurnakan muktamar tahunan berkenaan.
Ditanya sama ada kerjasama politik baharu itu mempunyai kaitan dengan
Umno, beliau yang juga Pengarah Pilihanraya Pas Pusat berkata persoalan
berhubung perkara itu akan diketahui pada muktamar nanti.
“Tunggulah pada hari berkenaan,” katanya ringkas selepas menyempurnakan
Majlis Perasmian Seminar Kearifan Tempatan - Tekstil 2018 di Dewan Batu
Bersurat, Kompleks Muzium Negeri, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan
Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Ketua Pengarah Jabatan
Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Bahrin A Kassim dan Pengarah Muzium
Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah.
Selain kerjasama politik baharu, Abdul Hadi juga dijangka menggariskan
beberapa hala tuju Pas untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan Pas di
setiap peringkat seiring dengan suasana politik negara yang kompleks dan
tidak menentu kini.
“Contohnya mengenai kepentingan untuk memastikan Islam sebagai agama
persekutuan dipertahankan dan kebajikan rakyat terutama yang menjadi
majoriti dalam negara ini terpelihara dari segi budaya dan akhlaknya,”
katanya.
Kira-kira 10,000 orang dijangka mengunjungi Terengganu sepanjang berlangsungnya muktamar tahunan Pas.
Sinar Harian
Comments
Post a Comment