Waran tangkap dalam kes rogol rekaan di Thailand

GLOBAL Waran tangkap telah
dikeluarkan oleh mahkamah terhadap pentadbir sebuah laman sesawang dan
berpuluh-puluh orang yang berkongsi satu kandungan "rekaan" berkaitan
seorang gadis rakyat Britain yang didakwa dirogol di sebuah pulau
pelancongan Thailand.
Polis di Pulau Koh Samui pada Isnin telah mendapatkan waran tangkap
itu dari mahkamah wilayah Surat Thani, susulan dakwaan jenayah itu yang
dilaporkan berlaku pada Jun di Pulau Koh Tao di wilayah selatan
Thailand.
Waran tangkap itu adalah untuk pentadbir laman sesawang CSI LA iaitu
Pramuk Anantasilp, serta berpuluh-puluh lagi yang berkongsi kandungan
"rekaan" tersebut secara online, lapor agensi berita China Xinhua
memetik kenyataan timbalan komander polis wilayah Surat Thani,
Cherdphong Chewpreecha.
CSI LA telah menyiarkan kisah gadis berusia 19 tahun dari Britain
itu, hanya dinamakan sebagai ‘Isabelle,’ yang kemudian polis dapati
sebagai "rekaan sama ada sepenuhnya atau sebahagian," sekali gus
mendorong mereka untuk menahan pentadbir laman sesawang tersebut serta
individu yang berkongsi kandungan terbabit.
Menurut polis, kisah "rekaan" seperti itu melanggar Akta Jenayah
Komputer, mencemarkan imej pelancongan Thailand serta menjejaskan
keselamatan negara itu, keselamatan awam dan kestabilan ekonomi.
Minggu lepas, Timbalan Pesuruhjaya Polis Pelancong Thailand Mejar
Jeneral Surachate Hakparn, yang menyiasat aduan rogol yang dibuat
sendiri oleh mangsa selepas beliau pulang ke England, telah mendapati
bahawa ia adalah "tidak berasas" tanpa bukti kukuh untuk menyokongnya.
Gadis itu mendakwa dirogol pada malam 25 Jun di pantai Sairee di
Pulau Koh Tao namun Surachate telah melihat rakaman visual kamera litar
tertutup di kejiranan itu dan mendapati paras air laut yang meningkat di
sepanjang pantai tersebut tidak memungkinkan sesiapa bersiar-siar di
kawasan pantai.
‘Isabelle’ membuat aduan kepada polis Koh Samui pada hari berikutnya
bahawa barangan peribadi miliknya hilang, termasuk wang tunai sebanyak
US$90, telefon bimbit dan kad kredit selepas beliau menghabiskan masa
minum bersama beberapa rakan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyebut telah dirogol oleh seorang individu tidak dikenali di pantai itu kepada polis tempatan.
- Bernama
Comments
Post a Comment